Friday 14 March 2014

Hikmah Perceraian Dalam Islam

Sekadar perkongsian ilmu untuk manfaat kita bersama...

Tidak ramai yang mampu menghadapi perceraian dengan hikmah, sebaliknya dianggap azab dan musibah. Setiap perceraian pasti membuatkan seseorang itu terluka dan sedih dengan kejadian yang menimpanya.

Ada kalanya perceraian itu menjadi wajib kerana memberi maslahat dan keperluan buat pasangan terbabit bagi membina sebuah kehidupan baru atau sebagai satu proses pemulihan serta peluang untuk memperbaiki diri.

Persoalan yang mungkin timbul di benak kita ialah apakah itu hikmah? Hikmah bermaksud bijaksana, tepat dan menepati kehendak ALLAH. Ini seperti mana sebahagian ulama menyebut bahawa hikmah itu ialah sunnah.

Memperoleh perceraian yang hikmah

1.  Sabar ketika menerima lafaz cerai - Pelbagai gelagat mereka ketika menerima lafaz cerai buat pertama kali. Ada yang tersungkur, ada yang terjatuh, ada yang pengsan, ada yang terduduk, ada yang tidak dapat mengawal perasaan. Namun begitu, ada yang tersenyum setelah bercerai dengan pasangannya.

Orang seperti ini juga gagal mendapatkan hikmah daripada perceraian. Mengapa? Kerana tiada apa yang mereka peroleh daripada perceraian itu melainkan menambah dosa.

Manakala bagi kebanyakan orang, perceraian itu benar-benar menjadi penamat kebahagiaan dan perampas kegembiraan rumah tangga yang selama ini dikecap bersama. Maka, tiada daya dan upaya bagi seseorang itu melainkan hendaklah dia bersabar sewaktu menghadapi perceraian. Islam mengajar umatnya untuk bersabar.

ALLAH berfirman: "KAMI sungguh akan menguji kalian dengan rasa takut, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berilah khabar gembira bagi orang yang sabar, yakni orang yang bila ditimpa oleh musibah, maka mereka berkata: ‘Innalillahi wa inna ilaihi raji’un’ (sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan sesungguhnya kami akan kembali kepada-NYA).

Mereka itulah yang berhak mendapatkan salawat (keselamatan) daripada TUHAN mereka dan rahmat dan merekalah orang yang mendapatkan petunjuk." (Surah Al-Baqarah: 155-157)

ALLAH dan Rasul mengajar ucapan ini apabila ditimpa musibah: Innalillahiwa’inna ilaihirajiun (sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan sesungguhnya kami akan kembali kepada-NYA) - Apabila menyedari bahawa segala-galanya sudah ditakdirkan dan kita telah berusaha dengan sehabis baik, maka ketika itu apa sahaja yang berlaku adalah takdir yang tiada dapat diubah. Maka, tugas kita adalah beriman, bertawakal dan reda sahaja dengan apa yang berlaku.

2.  Bersikap positif dengan perceraian -  Kegagalan rumah tangga atau bercerai tidak selalunya buruk. Sering kali kegagalan itu membawa kebaikan dan manfaat kepada kita. Cumanya  sebagai hamba, kita gagal mengetahui apa yang terbaik untuk diri sendiri.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi mu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; ALLAH lebih mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah: 216)

Sikap terbaik ketika menghadapi perceraian adalah sentiasa berfikiran positif dan optimis bahawa kemungkinan kegagalan ini adalah satu peluang untuk diri kita.

3.  Kegagalan adalah peluang - Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang diingini oleh ALLAH akan kebaikan, maka diujinya dengan musibah." (Riwayat Muslim, Ahmad dan Baihaqi)

Hadis riwayat Suhaib menyatakan bahawa Rasulullah  bersabda yang bermaksud: "Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin kerana semua perkara yang menimpanya ialah kebaikan dan tidaklah berlaku perkara ini melainkan hanya kepada orang yang beriman.

Apabila dia diberi nikmat lalu disyukurinya, maka menjadilah nikmat itu sebagai kebaikan baginya. Sebaliknya apabila dia diuji dengan musibah maka dia bersabar, lalu jadilah pula musibah itu sebagai kebaikan baginya." (Riwayat Bukhari, Muwatho dan Ahmad)

4.  Mengatur perancangan dan melakukan muhasabah - Tindakan paling penting selepas perceraian adalah memastikan ia tidak berulang dan dijadikan pengajaran.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang yang beriman tidak akan disengat dua kali di lubang yang sama." (Riwayat Muslim)

Sebagai Muslim, berfikir sebelum berbuat sesuatu merupakan perintah daripada al-Quran dan sunnah. Islam mengajar kita supaya mempertimbangkan antara yang baik dan buruk. Ingatlah... agama ini datang dengan membawa konsep menolak mafsadat (kerosakan).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap insan pasti melakukan kesilapan dan sebaik-baik manusia yang melakukan kesilapan ialah mereka yang sentiasa bertaubat." (Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah)

Penyesalan di atas kesilapan kita yang membawa kepada kegagalan adalah dibolehkan jika ia dibuat secara positif dan memberi manfaat kepada agama. Namun, ia bukanlah bermaksud keluhan dan kesedihan yang tiada berpenghujung serta membuang masa.

5.  Kembali berusaha dan lebih berkualiti - Bagi yang bijak dan memahami agama dengan kefahaman yang sahih, mereka akan segera kembali bekerja serta berusaha dengan lebih gigih, berhati-hati dan mengambil pengajaran daripada kesilapan untuk menjadi manusia yang lebih baik pada masa hadapan.

Biarlah orang memandang rendah kepada kita di atas kegagalan lalu. Sebabnya mudah... kerana jika benar-benar sudah belajar daripada kesilapan dan kegagalan, insya-ALLAH kita tidak lagi akan dihina atau dipandang rendah di sisi-NYA

Ilmu itu perlu dikongsi...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...